Madah Berhelah (korus):
Bukan sekali kau suarakan kebimbangan
Pada cintaku kau tak mampu
Bersendirian tanpaku
Itu semua lembut lidah manis madah
Penuh helah yang pastinya
aku adalah sandaran
Bagai hilang semangat diri
Keyakinanku terlebur kini
Trivia: Lagu yang sudah berusia 17 tahun ini ciptaan Saari Amri yang dimuatkan dalam album Kak G yang pertama, juga diangkat sebagai judul album. Menariknya, kegagalan Kak G menyanyikan lagu ini secara LIVE di Dataran Merdeka dikecam segelintir pihak. Kak G, mengikut cerita, baru pulang daripada bertugas, terus ke Dataran untuk menyertai satu pertandingan lagu. Tanpa cukup rehat, dia mengalunkan lagu yang menuntut suara mencapai nota nota tinggi ini, lantas, malam itu dia gagal melaksanakannya.
Heboh di akhbar, Kak G dikatakan menyanyi tidak seperti di dalam album. Namun begitu, lagu ini berjaya juga ke separuh akhir muzik muzik tahun 1992. Dalam semi final itu, semua yang terpilih harus mempersembahkan nyanyian langsung. Aduh. Mampukah Kak G menebus kembali kegagalan lalu?
Perkara paling menarik, semasa raptai, baris nota paling tinggi, baris lirik "aku adalah sandaran" tidak Kak G nyanyikan. Dia melepaskan baris itu dan menyambung baris seterusnya.
Mungkin dia ada sebab tersendiri. Sewaktu pertandingan separuh akhir berlangsung pula, giliran persembahan Kak G merupakan giliran terakhir sekali. Muncul dengan gaun manik hitam-merah- kehijauan dia mula mengalunkan lagu ini..
Semua yang menonton berdebar, mampu kah Kak G melakukannya? Dan malam itu, Kak G membuktikan kemampuan sebenar. Dia mampu. 2 kali (korus dan pengulangan korus) Kak G mengalunkan baris tinggi tersebut tanpa masalah...
...Petikan daripada Harian Metro bertarikh 24hb. November 1992
LEPASKAN geram habis-habisan! Itulah rahsia kejayaan Ziana Zain ketika menyampaikan lagu Madah Berhelah di malam rakaman separuh akhir Muzik Muzik, di Studio D TV3, malam kelmarin. Kerana mahu menghayati lagu itu sepenuhnya, Ziana terpaksa pekakkan telinga dan tidak memandang penonton ketika menyanyi. Dan hasil yang diberikan olehnya cukup membanggakan hingga dia menerima empat kali tepukan sebelum menamatkan barisan akhir lagu itu!
Lebih lucu lagi, penonton yang melihat persembahan Ziana malam itu resah. Dan selepas Ziana selesai mendendangkan lagu itu, ada kalangan mereka mengurut dada tanda lega. "Geram! Memang Ziana geram kerana pernah gagal menyanyikan lagu itu ketika menyertai Pertandingan Carta Dataran Merdeka tidak lama dulu. Jadi kerana mahu balas dendam, Ziana berlatih tak berhenti-henti dan mencari punca kesilapannya.
"Terus-terang Ziana katakan, kalau tidak cukup tidur atau letih badan, Ziana tidak boleh membawakan lagu itu. Ia memang susah kerana nadanya tinggi. Tapi Ziana anggap itu cabaran dan mesti dilakukan dengan sebaik mungkin seperti dalam studio," katanya yang memakai gaun petang labuh yang seksi malam itu. Akhirnya percubaan Ziana membuahkan hasil. Dia bersama Jamal Abdillah,Nash dan Razzi Rahman akan muncul sekali lagi dalam pertandingan JuaraLagu '92 (kategori Pop Kreatif) di Dewan Lee San Choon, Kuala Lumpur pada20 Disember ini. Syabas Ziana!
No comments:
Post a Comment